Monday, January 2, 2012

Step by Step... Nasi Minyak Olive Hujan Panas



Masih dalam hari-hari cuti umum tahun baharu 2012. Masih meraikan kedatangan tahun baharu 2012. Dan saya masih teringatkan kemanisan dan keindahan pavlova yang membuka tirai Life is Colorful tahun 2012 ini....

Walau bagaimanapun, perut yang lapar harus diisi. Hari cuti umum bermakna kena masak special sikit sebab ada 3 orang yang akan lunch di rumah iaitu Mr. Hubby, Hasya dan tentunya saya. Saya berkira-kira untuk masak nasi minyak, tapi kalau boleh nak kurangkan kolestrol dalam makanan. Yelah, 2-3 hari ni banyak sangat makan makanan berlemak, kalau buat nasi minyak, makin berminyaklah badan kami semua.



Maka, saya terfikir untuk buat nasi minyak tapi menggunakan olive oil (minyak zaitun). Ini bermakna, nasi minyak ini tidak menggunakan minyak sapi dan mentega. Meskipun, diganti dengan olive oil, rasanya sedap dan menggembirakan hati. Malah, tidak ada rasa muak kerana nasi minyak olive ini tidak terlalu berminyak atau berlemak.




Pewarna merah, kuning dan hijau yang ditambah pada nasi, menambahkan kecantikan nasi ini dan secara tidak langsung membangkitkan selera. Penyediaannya juga mudah dan mengambil masa yang singkat. Mari kita lihat langkah demi langkah... Nasi Minyak Olive Hujan Panas....

(Resepi Ayam Masak Merah sila klik sini)

Bahan-bahan (untuk 3-4 orang)

2 cwn beras basmathi
1 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1/2 inci halia
2 sudu makan olive oil
1 helai daun pandan
1/2 sk garam

1 btg kulit kayu manis (saiz kecil)
1 kuntum bunga lawang
1 kuntum bunga cengkih
1 biji buah pelaga

pewarna - merah, kuning dan hijau
sedikit kismis (jika suka - saya tak letak)


Cara memasak

Hiris bawang merah, bawang putih dan halia.



Panaskan kuali. Masukkan olive oil.



Setelah minyak panas, tumis bahan-bahan hirisan sehingga berwarna kuning dan berbau wangi.



Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan biji buah pelaga. Kacau hingga naik bau.


Tutup api. Cuci beras dalam periuk nasi. Masukkan sukatan air yang secukupnya.



Masukkan bahan-bahan yang ditumis tadi dalam periuk nasi.



Masukkan daun pandan dan garam.



Masak nasi seperti biasa.



Apabila nasi sudah masak, letak beberapa titik pewarna merah, hijau dan kuning. Gaul rata.



Telah siap untuk dihidangkan. Nasi ini amat sesuai dimakan dengan rendang (resepi rendang ayam klik sini), kari (resepi kari daging klik sini), ataupun ayam masak merah. Kali ini saya makan dengan Ayam Masak Merah. Untuk resepi Ayam Masak Merah sila klik sini.





No comments: