Sunday, November 20, 2011

Unsinkable Myth: Tenggelamnya RMS Titanic 1912 (menjelang 100 tahun penuh bersejarah)

Titanic yang terkubur di Lautan Atlantic

Pada tahun 1997, tiga studio gergasi US (20th Century Fox, Paramount Pictures dan Lightstorm Entertainment) telah mengeluarkan filem epik mega `Titanic' yang diilhamkan daripada sejarah tenggelamnya sebuah kapal penumpang iaitu RMS Titanic pada 1912.

Filem ini memfokuskan 3 tema penting iaitu: 1. Cinta agung. 2. Status/Kelas dan 3. Kapal Titanic. Diterajui dua tonggak utama iaitu Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet, filem arahan James Cameron ini mencatat kejayaan yang amat membanggakan daripada segi kutipan tiket dan populariti. 

Namun, apa yang kebanyakkan kita tidak tahu adalah: Dua watak penting tersebut iaitu Jack Dawson dan Rose DeWitt Bukater pada hakikatnya tidak pernah menaiki RMS Titanic pada tahun 1912! Realitinya, Jack dan Rose adalah manusia yang tidak pernah wujud dan merupakan watak fiksyen ciptaan Hollywood.

RMS Titanic bukanlah sebuah kapal milik US. Sebaliknya kapal ini dibina di Belfast, Ireland dan dimiliki oleh sebuah syarikat perkapalan terkemuka British iaitu White Star Line.

RMS Titanic berlayar dari Southampton

Pada 10 April 1912, kapal ini memulakan pelayaran sulungnya, berlepas dari Southampton ke New York. Kapten RMS Titanic ialah Edward J. Smith. Pelayaran ini membawa 2,224 orang (krew dan penumpang).

Pada malam 14 April 1912, RMS Titanic meredah lautan yang suhunya berada pada tahap beku. Terdahulu pada siang hari, Kapten Smith telah dimaklumkan tentang amaran bongkah air batu (iceberg) menerusi sistem radio kapal.

Bongkah air batu yang dilanggar oleh Titanic

Kapal malang ini bergeser dengan bongkah air batu di Barat Laut Lautan Atlantik pada jam 11.40 malam, 14 April 1912 iaitu pada hari ke-4 pelayarannya. Mengambil masa tidak sampai 3 jam, kapal ini tenggelam sepenuhnya jam 2.20 pagi 15 April 1912. 

Nahas ini menyebabkan kehilangan 1,514 nyawa. Lelaki mencatatkan kematian yang paling tinggi kerana krew kapal melaksanakan protokol "utamakan wanita dan kanak-kanak" semasa proses menyelamat mangsa.

Paling menyedihkan adalah ketidakcukupan bot penyelamat yang dibawa oleh RMS Titanic. Kapal ini hanya membawa 20 bot penyelamat yang boleh memuatkan 1,178 penumpang. Walau bagaimanapun, bot-bot penyelamat yang dilancarkan tidak dimuatkan dengan kapasiti penuh. Contohnya, bagi bot penyelamat pertama hanya dimuatkan 28 orang sedangkan bot tersebut boleh memuatkan 65 orang!

Bot penyelamat

Justeru, tidak hairanlah jika hanya 1/3 iaitu 710 orang yang terselamat daripada nahas ini. Penumpang kapal ini terbahagi kepada 3 kelas iaitu kelas pertama, kedua dan ketiga. Penumpang lelaki kelas kedua (92% kematian) dan ketiga (84% kematian) mencatat jumlah kematian paling tinggi. 

Meskipun protokol "utamakan wanita dan kanak-kanak" dilaksanakan, status dan kelas tetap menjadi kayu pengukur penting semasa proses menyelamat. 66% kanak-kanak kelas ketiga terkorban dalam nahas manakala 100% kanak-kanak kelas kedua dan 83% kelas pertama (cuma seorang yang terkorban) berjaya diselamatkan. Begitu juga dengan nasib penumpang wanita di kelas ketiga, hanya 46% sahaja yang terselamat.

Menyedari masih terdapat ruang untuk menempatkan beberapa penumpang lagi, 2 buah bot (bot penyelamat no. 4 dan no. 14) berpatah balik untuk menyelamatkan penumpang-penumpang yang terapung di laut. Walau bagaimanapun, bot-bot lain tidak berbuat demikian kerana takut kemungkinan ditenggelamkan penumpang-penumpang yang mungkin berebut-rebut.


RMS Carpathia berlabuh di New York

Penumpang-penumpang yang berada dalam bot penyelamat kemudiannya diselamatkan oleh Kapal RMS Carpathia yang tiba jam 4.10 pagi. RMS Carpathia tiba di New York 4 hari kemudian (18 April 1912).

Setelah 99 tahun berlalu... 710 mangsa yang terselamat juga hanya tinggal nama. Penumpang RMS Titanic yang terakhir menghembuskan nafas ialah Millvina Dean iaitu pada 31 Mei 2009. Mendiang meninggal dunia pada usia 97 tahun.

Realitinya, kapal ini tenggelam dan berkubur di Lautan Atlantik pada pelayaran pertamanya dan tidak pernah sampai ke destinasi yang dituju...

No comments: