Thursday, September 15, 2011

Tenggelamnya Repulse & Prince of Wales




Semasa di sekolah menengah, saya dan anda semua belajar tentang zaman kolonialisme dan kependudukan Jepun di Tanah Melayu. Maka, nama dua buah kapal British iaitu `Repulse' dan `Prince of Wales' ada tercatat dalam buku teks sejarah.


Saya pasti, anda semua ingat atau macam ingat-ingat lupa tentang dua kapal British ini. Ingat atau tidak, sebenarnya dua kapal ini adalah satu fakta sejarah yang kita semua patut tahu kerana ia melibatkan permulaan kemenangan besar-besaran Jepun menduduki Tanah Melayu.


Pearl Harbor


Fakta:


Sejarah `The Sinking of Repulse & Prince of Wales' berlaku semasa Perang Dunia Ke-2. Permulaan perang tercetus apabila Pangkalan Tentera US di Pearl Harbor diserang oleh tentera udara kamikaze Jepun pada Disember 7, 1941. Anda boleh menonton filem `Pearl Harbor' version Hollywood yang dilakonkan oleh dua aktor tampan iaitu Ben Affleck dan Josh Hartnet (hensem) untuk mengimbas kembali tragedi Pearl Harbor ini.


Jepun melancarkan serangannya ke Tanah Melayu pada 8 Disember 1941. Meskipun bunyinya seperti sehari selepas serangan ke atas Pearl Harbor tetapi sebenarnya tarikh pelancaran serangan Jepun adalah adalah lebih kurang sama. Sebabnya, waktu di US yang lambat 12-13 jam daripada waktu di negara-negara Asia Tenggara. Jadi, kesimpulan yang saya buat adalah, Jepun memang melancarkan serangan secara intensif dan serentak untuk memulakan World War II.


Jepun mendarat di Pantai Padang Pak Amat (Kota Bharu) sejurus selepas tengah malam 8 Disember 1941. Pada 9 Disember 1941, Jepun berjaya menawan 3 lapangan terbang di utara tanah air iaitu Sungai Petani (kampung saya), Butterworth dan Alor Star.


British yang mengalami kekalahan awal untuk mempertahankan negeri-negeri Melayu di utara tanah air telah menghantar dua buah kapal perang mereka `Repulse' dan `Prince of Wales' untuk mempertahankan tanah melayu dan semestinya Singapura yang menjadi tapak pelaburan utama British di Asia Tenggara.




Malangnya pada 10 Disember 1941, kedua-dua kapal tempur ini dibedil oleh tentera udara Jepun sebelum sempat mendarat di Kuantan iaitu ketika masih di perairan Laut China Selatan. Sebabnya, kedua-dua kapal perang ini tidak diiringi oleh tentera udara British. Maka, tenggelamlah dua kapal perang ini yang mengorbankan 840 tentera Kuasa Bersekutu (513 Repulse dan 327 Prince of Wales).




Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill terlebih dahulu mengumumkan penghantaran dua buah kapal tersebut untuk menjaga kepentingan British di Asia Tenggara daripada serangan tentera Paksi. Akibatnya, Admiral Jepun, Isoroku Yamamoto telah mengatur serangan ke atas kedua-dua kapal tersebut yang akhirnya membawa kejayaan besar ke atas kependudukan Jepun di Tanah Melayu.


Langkah Jepun menyerang Pearl Harbor beberapa hari sebelum itu memang bijak kerana US tidak mampu untuk menghantar bantuan kepada rakan sekutu mereka untuk mempertahankan negara-negara di Asia Tenggara. Serangan Jepun ke atas Pearl Harbor menyebabkan 8 buah kapal perang US tenggelam dan musnah.


Keesokan harinya, Winston Churchill (ketika di bilik tidur) menerima panggilan telefon daripada Sir Dudley Pound (First Sea Lord):


Winston Churchill



Pound: Perdana Menteri, saya ingin melaporkan bahawa Prince of Wales dan Repulse telah ditenggelamkan oleh Jepun, kami rasa menggunakan tentera udara. Tom Phillips (admiral/komander perang) turut tenggelam.


Churchill: Adakah kamu pasti berita ini benar?


Pound: Saya pasti tanpa sebarang keraguan.


Dan Churchill meletakkan telefon.


"Dalam perang-perang yang pernah saya lalui, saya tidak pernah menerima kejutan seperti ini...Apabila saya berpaling di atas katil, berita tenggelamnya kedua-dua kapal tersebut menghantui saya. Tidak ada kapal British atau Amerika di Lautan Hindi atau Pasifik kecuali yang terselamat daripada Peral Harbor yang mana ketika ini sedang bergegas pulang ke California. Dengan ini kekuatan Jepun di laut amatlah hebat, dan kami (tentera bersekutu) amat lemah serta tidak berpakaian." (Churchill).


Semoga info di atas dapat mengembalikan ingatan kita tentang sejarah negara.

No comments: